Bagaimana Kanak-kanak Menghayati Kehidupan

Tunjang Perkembangan Fizikal



Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika

Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika merangkumi Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan serta Perkembangan Kreativiti.


Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan

Kanak-kanak pada peringkat prasekolah memerlukan aktiviti yang menguatkan kawalan otot mereka. Aspek perkembangan fizikal adalah amat penting di prasekolah kerana tanpa perkembangan fizikal yang mantap, kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau berus untuk menulis dan melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti memainkan peralatan muzik serta pengendalian peralatan. Pendidikan prasekolah menyediakan peluang pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar serta kordinasi mata-tangan di kalangan kanak-kanak ini. Perkara yang dirangkumi termasuk teknik yang betul untuk melompat, menyambut objek, membaling objek serta postur yang betul semasa duduk.

Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pembinaan amalan penjagaan kesihatan fizikal diri, kebersihan persekitaran, dan pemakanan yang berkhasiat. Tabiat yang dibina akan memanfaatkan kanak-kanak ini sepanjang usia mereka. Secara lazimnya, kanak-kanak yang mempunyai badan yang sihat dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada pembelajaran dan mempunyai kendiri yang positif. Tunjang ini juga menekankan aspek keselamatan diri daripada sumber yang mungkin menyebabkan kemalangan dan bahaya kepada diri mereka termasuk langkah menjaga kehormatan diri.

Perkembangan Kreativiti



Perkembangan Kreativiti

Perkembangan Kreativiti merangkumi Seni Visual, Pendidikan Muzik serta Drama dan Gerakan Kreatif. Tunjang ini lebih menekankan proses daripada produk. Kanak-kanak ini diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka secara kreatif dan melibatkan diri dalam aktiviti kreativiti.

Fokus Seni Visual adalah pada aplikasi seni, eksperisi kreatif dan apresiasi. Aplikasi seni merujuk kepada proses mengenal dan memilih bahan yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu karya. Eksperisi kreatif adalah proses penghasilan karya. Apresiasi seni melibatkan proses menceritakan hasil kerja sendiri dan juga menunjukkan penghargaan terhadap keindahan persekitaran serta hasil kerja orang lain.

Pendidikan Muzik merangkumi aktiviti menyanyi, pengalaman awal untuk memainkan perkusi, penghasilan muzik menerusi bahan atau objek improvasi, dan apresiasi muzik.

Drama dan Gerakan Kreatif merangkumi aktiviti drama dan gerakan kreatif di mana murid diberi peluang untuk memain peranan, berlakon, menari dan membuat gerakan secara kreatif.

Aktviti tunjang ini bukan sahaja digunakan untuk meningkatkan daya kreativiti tetapi juga digunakan untuk mencapai objektif pembelajaran tunjang lain. Aktiviti menyanyi dan pergerakan kreatif sentiasa digunakan semasa pembelajaran bahasa, matematik dan lain-lain.